MOSCOW - Rusia telah meletakkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam senarai individu dikehendaki, menurut laporan media tempatan memetik pangkalan data Kementerian Dalam Negeri pada Sabtu ketika konflik kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu masih berlarutan.
Nama Zelenskyy bersama pendahulunya, Petro Poroshenko muncul dalam senarai tersebut atas tuduhan jenayah tidak dinyatakan.
Sementara itu, rangkaian berita bebas, Mediazona mendakwa nama kedua-duanya sudah berada dalam senarai berkenaan sejak akhir Februari lalu.
Ia turut menyenaraikan sejumlah pegawai dan penggubal undang-undang dari Kiev dan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) termasuk Perdana Menteri Estonia, Kaja Kallas yang menyokong peningkatan bantuan ketenteraan kepada Ukraine dan sekatan lebih ketat ke atas Moscow.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 4,000 telah dipindahkan dari kawasan sempadan di wilayah Kharkiv selepas ofensif rentas sempadan semakin meningkat.
Pemindahan itu dibuat sehari selepas pasukan tentera Rusia berjaya menawan lima perkampungan di provinsi tersebut setelah ia semakin mara ke Kiev.
Pada Jumaat lalu, Kiev mendakwa Moscow telah melancarkan serangan mengejut ke atas Kharkiv dan membuat kemajuan kecil di zon sempadan setelah pasukan tentera mereka diusir dari kawasan tersebut kira-kira dua tahun lalu.
Wilayah tersebut berada di bawah kawalan Ukraine sejak September 2022.
Tentera Rusia mengambil peluang untuk menyerang balas Ukraine selepas ia kini berdepan isu kekurangan bekalan senjata akibat kelewatan bantuan Barat.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) yang menjadi 'tempat bergantung' Kiev mengumumkan pakej ketenteraan berjumlah AS$400 juta (RM) selepas Ukraine terpaksa menagih bantuan daripada sekutunya. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!