Kereta hilang kawalan punca bas persiaran terbalik

Iklan
Bas persiaran yang dinaiki 40 penumpang dan pemandu terbalik di Kilometer 264.5 Lebuh Raya Utara - Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora di sini pada pagi Ahad.

IPOH - Kereta hilang kawalan dipercayai menjadi punca bas persiaran yang dinaiki 40 penumpang dan pemandu terbalik di Kilometer 264.5 Lebuh Raya Utara - Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora di sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 44 tahun memandu kereta dari Kulim, Kedah menghala ke Ipoh.

Iklan
Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan telah memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri lalu melanggar sisi kanan belakang bas.

"Kereta tersebut kemudian berpusing 360 darjah dan sekali lagi melanggar bahagian hadapan kanan bas mengakibatkan bas tersebut terbabas memasuki longkang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Iklan

Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut 39 penumpang berusia sembilan hingga 80 tahun telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Klinik Kesihatan Greentown bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"21 mangsa yang mengalami kecederaan parah dan ringan telah dibawa mendapatkan rawatan manakala 20 orang lagi termasuk kedua-dua pemandu bas dan kereta tidak mengalami kecederaan.

Iklan

"Kemalangan yang berlaku sekitar jam 7.20 pagi itu mengakibatkan laluan di tempat kejadian ditutup namun laluan kontra dibuka bagi mengatasi kesesakan lalu lintas," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jong Pit Chio di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sinar Harian melaporkan bas persiaran dinaiki 29 wanita, lapan lelaki dan dua kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari Kupang, Kedah menuju ke Ipoh bagi menghadiri majlis keagamaan.

Kesemua mangsa dibawa mendapatkan rawatan dengan menaiki tujuh ambulans milik KKM, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!