KUALA NERUS - Lima negeri menyambut baik cadangan kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, lima negeri berkenaan termasuk Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.
Menurutnya, kesemua negeri itu telah menyuarakan kesanggupan mereka untuk menaikkan gaji penjawat awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
"Ini bukan masalah, saya yakin setiap negeri tetap bersama dengan satu sistem saraan untuk anggota perkhidmatan awam," katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Penjawat Awam Negeri Terengganu Bersama Datuk Dr Presiden Cuepacs Malaysia di Dewan Masyarakat Tok Jiring pada Ahad.
Dalam pada itu, Adnan berkata, negeri-negeri lain masih menunggu untuk memuktamadkan cadangan itu dan masih di peringkat awal untuk membuat keputusan.
"Mereka bukan tidak menyambut baik tetapi masih dalam peringkat awal untuk mereka membahaskannya, namun kita yakin dan percaya sebagaimana pengumuman-pengumuman sebelum ini, cadangan ini tidak menjadi masalah," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perincian mengenainya sudah dibentang oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurutnya, perkara itu juga akan dijelaskan ketika perhimpunan penjawat awam atau majlis amanat perdana perkhidmatan awam bersama Perdana Menteri yang dijangka berlangsung pada Ogos depan.
"Sejak tahun 2000 berlaku kenaikan gaji tahunan iaitu tahun 2000 naik 10 peratus 2002 (10 peratus), 2007 pula naik 35 peratus, 25 peratus, 15 peratus, dan 7.5 peratus.
"Tahun 2012 pun naik lagi 7 hingga 13 peratus, kemudian kita dapat imbuhan tetap perumahan pada 2013 dan 2016 dan ketika itu tiada satu negeri pun yang menolak," katanya.
Beliau berkata, pihaknya yakin semua negeri akan menerima baik skim saraan penjawat awam yang baharu demi kebaikan pekerja mereka.
"Tidak boleh dalam peringkat gaji ada dua, tiga kluster skim perkhidmatan, ia akan mewujudkan jurang yang tidak saksama.
"Perkhidmatan yang sama, jawatan sama (namun) gaji berbeza, jadi kita harap semua negeri menyambut baik saranan ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!