AMPANG - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan dua wanita warga Indonesia dalam kebakaran di sebuah apartment di Pandan Mewah dekat sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 6.33 petang.
"Seramai 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang serta BBP Pandan bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh empat kilometer," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran melibatkan sebuah bilik di sebuah unit di tingkat empat apartment berkenaan.
"Seramai dua wanita berusia dalam lingkungan 40 hingga 65 tahun telah diselamatkan oleh pihak bomba.
"Api berjaya dikawal pada jam 6.55 petang, kemusnahan dianggarkan 20 peratus. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!