Pulau Kucing

Iklan
Pulau Kucing yang kini dikelola oleh Pertubuhan Pelindungan Kucing Datuk Shamsiah ini diwujudkan bagi memberi pelindungan kepada kucing-kucing yang tidak bertuan atau kucing-kucing yang tidak lagi mahu dijaga oleh tuannya bagi mengelakkan ianya terbiar atau dibuang di jalanan tanpa penjagaan khusus.

Tinjauan foto Bernama mendapati, lebih 60 kucing pelbagai jenis ditempatkan di pulau tersebut dan kebanyakan kucing-kucing tersebut dihantar oleh orang perseorangan untuk dijaga dan diberi perlindungan.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Pelindungan Kucing Datuk Shamsiah, Tengku Azizan Tengku Husin sekurang-kurangnya sebanyak RM7,000 diperlukan setiap bulan bagi menampung kos makanan, ubatan dan penyelenggaraan.

Pulau Kucing ini juga dibuka kepada pengunjung untuk melawat dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada semua pengunjung yang datang, namun kepada pengunjung yang bermurah hati ingin menyumbang untuk kos penjagaan kucing-kucing ini, terdapat peti sumbangan disediakan bagi tujuan tersebut.