KEJAYAAN Kedah Darul Aman (KDA) FC melunaskan hutang tiga mata lebih awal selepas menewaskan PDRM FC dalam aksi Liga Super 2024/25 cukup amat melegakan.
Itu reaksi pengendali KDA FC, Nafuzi Zain selepas pasukannya menjinakkan cabaran The Cops, 1-0 hasil jaringan Syafiq Ahmad seawal minit pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada Sabtu.
"Alhamdulillah permulaan yang baik, 30 minit pertama kita tampil dengan permainan cukup baik dengan mencipta beberapa peluang.
"Pemain-pemain juga faham apa yang saya mahu dalam perlawanan ini, cuma masih terdapat segelintir pemain yang perlu sedikit lagi masa sesuaikan diri.
"Saya bangga dengan aksi ditunjukkan kerana kita berjaya bayar hutang mata yang mana kami bermula dengan negatif tiga mata dan ini motivasi semangat kepada pemain-pemain untuk perlawanan kedua menentang Selangor minggu depan,” katanya selepas perlawanan.
Jaringan Syafiq memastikan KDA meraih tiga mata memadamkan defisit berikutan pemotongan dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas kegagalan kelab menyelesaikan tunggakan gaji bagi tahun 2023.
Dalam pada itu, Nafuzi turut juga berpuas hati dengan gandingan dua kaptennya, Sony Norde dan Syafiq yang berjaya memberi impak berkesan dalam perlawanan tersebut.
"Sony adalah pemain paling senior dan berhak untuk dapat lilitan kapten ditambah Syafiq yang juga berpengalaman.
"Kedua-duanya mereka telah menampilkan aksi terbaik biarpun bermain dalam keadaan padang yang becak,” katanya.