Wanita boleh jadi bos kepada diri sendiri di usia senja

Iklan
Gambar hiasan 123rf

SABTU lalu, akhbar ini menyiarkan laporan khas mengenai sebilangan kaum wanita yang masih bekerja walaupun sudah menjangkau usia emas. Walau kudrat mereka tidak sekuat zaman muda, semangatnya masih kuat.

Ramai yang tersentuh dengan laporan sempena Hari Ibu tersebut, apatah lagi realiti yang sememangnya wujud dalam masyarakat kita itu jarang sekali diketengahkan media.

Iklan
Iklan

Laporan tersebut turut disiarkan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa kementerian sebenarnya dalam proses menyediakan Rangka Kerja Untuk Masyarakat Penuaan bagi membantu wanita warga emas yang masih lagi bekerja.

Ujar Nancy, usaha tersebut sebagai persediaan bagi menghadapi negara tua menjelang 2030 seperti yang dilaporkan menerusi unjuran statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Iklan

Jelas, kerajaan tidak melupakan golongan wanita warga emas dan mengambil berat tentang kebajikan mereka. Antaranya adalah dengan menyediakan 14 program khusus berkaitan aktiviti ekonomi, sekali gus menggalakkan wanita menceburi bidang keusahawanan.

Benar, bekerja sendiri mengikut kemampuan masing-masing merupakan pilihan terbaik untuk golongan wanita warga emas. Jadi bos kepada diri sendiri, tidak perlu terikat dengan masa orang lain dan paling penting tidak juga menyusahkan mana-mana pihak.

Iklan

Jika rasa penat atau tidak sihat, boleh berehat tanpa perlu lapor pada sesiapa atau risaukan apa-apa. Masa juga lebih fleksibel, boleh bermula selepas solat Subuh sehingga tengah hari sahaja, kemudian berehat atau sehingga petang, terpulang kepada kemampuan.

Namun, bagi yang masih ingin terus bekerja makan gaji, bukan satu kesalahan. Bahkan baik juga untuk diri sendiri. Ia lebih membuatkan diri lebih produktif apabila bergandingan dengan golongan muda, dapat belajar trend terkini.

Golongan muda juga perlu menerima golongan wanita warga emas ini dengan hati terbuka. Jangan ada diskriminasi usia kerana golongan ini lebih banyak idea berdasarkan banyaknya pengalaman mereka. Itu sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan.

Percayalah, gandingan pemikiran antara orang-orang lama dengan orang-orang baharu akan menghasilkan keuntungan kerana golongan sasarannya adalah lebih meluas dengan kuasa beli yang lebih tinggi.