Syarikat penerbangan dialukan mulakan operasi antarabangsa di LTSIP

Iklan
Anthony ketika berucap pada Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik Taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), pada Isnin. Foto Bernama

KOTA BHARU - Kerajaan mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan untuk memulakan operasi penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dekat Pengkalan Chepa, di sini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun syarikat penerbangan itu perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya tiada masalah bagi mana-mana syarikat penerbangan memulakan penerbangan antarabangsa dari LTSIP sebagai contoh penerbangan dari Singapura, Thailand atau mana-mana negara di rantau Asia, terpulang kepada syarikat penerbangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik taraf LTSIP, di sini pada Isnin, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Dr Izani Husin.

Iklan

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan, bagi menambah 400 meter lagi landasan di LTSIP untuk menjadikan ia sebagai lapangan terbang antarabangsa dan akan meminta Menteri Pengangkutan untuk menyegerakan pembinaan LTSIP yang sedang dilakukan ketika ini.

Pengoperasian terminal LTSIP fasa satu pada 1 Mei lepas mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka dapat menampung sehingga empat juta penumpang.

Iklan

Anthony memberi jaminan pembinaan Fasa 2 LTSIP tidak menjadi masalah dan mampu disiapkan mengikut jadual yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!