ISKANDAR PUTERI - Dakwaan mahu membuka kasino di Forest City yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab, disifatkan sebagai persepsi jahat yang mahu menggagalkan pembangunan kawasan berkenaan yang akan dijadikan Zon Kewangan Khas (SFZ).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia juga dilihat mengulangi persepsi negatif berbentuk hasutan dan fitnah yang ditimbulkan pihak tertentu kepada Forest City pada tahun 2018.
"Saya tegaskan sekali lagi berita berkenaan Forest City adalah fitnah liar dan tidak benar sama sekali. Ia tak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk.
"Ia juga fitnah yang tidak masuk akal sekali melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemarkan imej Forest City.
"Ia juga mengulangi persepsi negatif untuk gagalkan Forest City yg dilakukan pihak tertentu seperti 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Isnin.
Sebelum itu, Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) bertanya kesahihan laporan berita beberapa media antarabangsa mengenai sama ada kerajaan negeri memberi kelulusan untuk pembangunan pusat kasino di Forest City.
Pada 25 April lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City, Johor.
Seterusnya, Kerajaan Johor menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machap turut menasihatkan segelintir pihak yang suka menabur fitnah supaya insaf dan membuat perkara lebih bermanfaat.
"Ini adalah masa terbaik untuk kita kembali membangunkan Forest City dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ia (Forest City) akan beri manfaat langsung dan tak langsung kepada Bangsa Johor dan Malaysia," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!