PETALING JAYA - Pemilik premis bakal berdepan tindakan undang-undang jika didapati melindungi dan membenarkan pendatang tanpa izin (PATI) di premis mereka.
Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, siasatan sedang dilakukan selepas penguat kuasa agensi itu menyerbu beberapa premis yang menjadi lokasi kediaman PATI dalam operasi bersepadu di kawasan Sungai Kayu Ara, di sini pagi tadi.
Menurutnya, penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan terhadap 152 warga asing dan 55 daripadanya ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
"Kita akan menyiasat pemilik premis yang membenarkan PATI berada di premis mereka. Jika terdapat bukti, pemilik akan turut dikenakan tindakan undang-undang," katanya melalui kenyataan media.
Mohamad Shukri berkata, pihaknya menahan 24 lelaki, 24 wanita, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia.
"Ketika serbuan seorang wanita warga asing cuba melarikan diri melalui bumbung rumah manakala seorang lelaki dikesan bersembunyi di atas siling rumah.
"Sebahagian besar warga asing yang tinggal di penempatan ini didapati mempunyai status taraf penduduk tetap, pas Lawatan sosial jangka panjang isteri atau suami kepada warganegara dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah," katanya.
Katanya, kesemua PATI yang ditahan itu berusia antara 10 bulan hingga 58 tahun dan akan direman selama
selama 14 hari di bawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, seramai 73 pegawai dan anggota imigresen dibantu oleh lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri Selangor dalam operasi empat jam yang bermula pada jam 1 pagi itu.