KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM141,070 selepas menahan tiga penganggur dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil serbuan terbabit pihaknya merampas 60 botol heroin seberat 240 gram (g), 2,100 bijil pil yaba dan 0.2 g syabu.
Katanya, dalam serbuan pertama Khamis lalu anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) menyerbu sebuah rumah di Kampung Sering pada jam 12 tengah hari dan menahan seorang lelaki berusia 42 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan di satu bilik tidur telah menemui satu beg mengandungi satu tiub straw berisi ketulan kristal cerah disyaki syabu dengan anggaran berat 0.2g.
Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu bungkusan kertas surat khabar diikat dengan gelang getah di bawah topi keledar berhampiran pangkal pokok di belakang rumah terbabit.
"Bungkusan terbabit mengandungi 10 botol plastik cerah bertudung kuning yang berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 40g,” katanya pada sidang akhbar di IPK hari ini.
Katanya, lelaki terbabit yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan juga positif dadah itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
"Nilai pasaran semasa dadah yang dirampas untuk tangkapan pertama ialah RM20,070,” katanya.
Sementara itu, tangkapan kedua membabitkan dua lelaki berusia 40 dan 51 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit China, Ketereh pada jam 12 tengah malam semalam.
Katanya, tangkapan membawa kepada penemuan satu bekas besi mengandungi beberapa paket plastik berisi pil disyaki dadah.
"Hasil serbuan juga polis berjaya merampas tiga plastik cerah berangkai mengandungi 100 biji pil warna kemerahan disyaki Yaba.
"Turut dijumpai 50 botol heroin dengan anggaran seberat 200 gram dan 10 bungkusan paket plastik yang mengandungi 2,000 biji pil yaba,” katanya.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran kecil-kecilan sekitar daerah ini dan bekalannya mungkin diperoleh dari negara jiran,” katanya.