JOHOR BAHRU - Kira-kira 25 penghuni kem pelarian di Jabalia, Gaza, Palestin dibunuh tentera Israel semasa mereka mencari bekalan air bersih pada Aidilfitri baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor (IJ), Farrah Faridah Baptist berkata, mereka dibunuh semasa membawa tong dan botol untuk mencari air di tempat awam seperti hospital dan kawasan perumahan.
"Menurut wakil IJ yang merupakan penduduk tempatan dan membantu penghuni kem tersebut, kejadian itu dilaporkan berlaku ketika krisis air yang sangat teruk pada 11 dan 12 April lalu semasa Aidilfitri.
"Penduduk terpaksa berjalan jauh antara lima sehingga 20 kilometer dari kem pelarian Jabalia untuk mencari sumber air, jauh dari kawasan kem mereka.
"Seramai 25 penghuni kem tersebut mati shahid ditembak rejim zionis tanpa belas kasihan semasa mereka mencari bekalan air, lebih menyedihkan berlaku semasa hari raya kedua dan ketiga," katanya kepada pemberita di Markas Operasi Negeri di bandar raya ini pada Isnin.
Beliau berkata, penghuni yang keluar mencari air berdepan risiko menjadi sasaran penembak tepat Israel yang bersembunyi.
Katanya, situasi berkenaan amat menyedihkan sedangkan mereka merupakan orang awam yang tidak bersenjata dan hanya mahu mendapatkan sumber air bersih.
"Keperluan air sangat diperlukan di Palestin sekarang kerana sudah mula musim panas. Untuk makanan mereka boleh makan apa yang ada dan bantuan sudah mula sampai di sebelah utara. Apa yang paling diperlukan adalah air untuk minum dan keperluan harian lain," katanya.
Pihaknya kata Farrah, semasa kejadian tidak dapat menyumbangkan bekalan air bersih iaitu air laut yang disuling sebelum dihantar dengan lori tangki ke kem-kem pelarian di sana seperti yang biasa dilakukan.
Menurutnya, pihak IJ hanya dapat membekalkan air bersih semula untuk lima hari yang disumbangkan pihak Waqaf An-Nur Corporation dan Surau Al Amin dari PV 8 Platinum Hill Condominium, Kuala Lumpur pada 29 April sehingga 3 Mei lalu.
Bagi yang ingin menyumbang untuk bekalan air bersih di kem-kem pelarian di Gaza, slot RM50 menerusi akaun Maybank 551203527725 atau Bank Islam Malaysia Berhad 01014010067566.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!