IPOH - Sebuah pacuan empat roda milik Kementerian Kesihatan (KKM) terbabas mengakibatkan dua kakitangannya cedera ketika menuruni laluan Terowong Menora dekat sini pada Isnin.
Kejadian berlaku di Kilometer 263.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan iaitu kira-kira 1 kilometer dari lokasi nahas bas persiaran membawa 39 penumpang terbalik, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 8.23 pagi melibatkan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero.
Menurutnya, maklumat awal memaklumkan kenderaan dinaiki dua lelaki terbabit telah terbabas di bahu jalan.
"Kejadian mengakibatkan pemandu dan penumpangnya masing-masing berusia 49 dan 43 tahun cedera di muka.
"Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital terdekat menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, nahas terbabit bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain.
"Operasi dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya itu tamat pada jam 9.03 pagi," katanya.
Pada Ahad Sinar Harian melaporkan, sebuah bas persiaran yang dinaiki 29 wanita, lapan lelaki dan dua kanak-kanak perempuan dalam perjalanan dari Kupang, Kedah menuju ke Ipoh terbalik di Kilometer 264.5 Lebuhraya Utara Selatan.
Kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang hilang kawalan dan memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!