PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee percaya keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Super menentang Pulau Pinang di Stadium Likas mungkin berubah sekiranya Video Bantuan Pengadil (VAR) dapat digunakan.
Menurutnya, Sabah mungkin dapat memperolehi penalti jika VAR berfungsi selepas bola didakwa terkena tangan pemain pelawat dalam kotak penalti pada minit ke-77.
"Tetapi, pada perlawanan akan datang mungkin dengan adanya VAR akan bertambah baik dari segi keputusan untuk membantu pengadil," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Difahamkan, VAR tidak dapat digunakan dalam perlawanan tersebut pada saat akhir selepas mengalami masalah teknikal.
Dalam pada itu, Kim Swee juga kurang berpuas hati dengan keputusan seri tersebut apatah lagi beliau mengharapkan tiga mata dalam perlawanan pertama itu.
"Kita tidak mendapatkan keputusan yang dimahukan, tetapi secara keseluruhan kita mengawal permainan dengan baik dan kita harus memperbaiki dari aspek penyudah kerana banyak peluang yang kita cipta namun tak dapat jaringkan gol.
"Sudah tentu bermain di tempat sendiri tanpa mendapatkan kemenangan pertama akan memberikan sedikit impak kepada permulaan musim yang baharu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!