PASIR MAS - Sebanyak 20 tan beras putih tempatan habis dijual dalam masa hampir empat jam menerusi Program Jualan Agro Madani oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim berkata, jualan tersebut melibatkan 2,000 kampit beras yang dijual dengan harga RM25 bagi pek 10 kilogram iaitu lebih murah berbanding harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
"PPK Kangkong mempunyai kilang padi sendiri dan kita mengalu-alukan langkah PPK ini untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya membabitkan ahlinya yang berjumlah hampir 4,000 orang.
"Program ini sangat bertepatan dengan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai satu langkah jangka pendek bagi mengawal isu kekurangan bekalan beras di pasaran tempatan," katanya ketika meninjau program jualan tersebut bersama Pengerusi PPK Kelantan Datuk Aimi Jusoh.
Mengulas lanjut, Nik Mohd Shaharil berkata, bagi menyokong usaha kerajaan itu (PKBPT), LPP telah memperluaskan aktiviti pengedaran beras putih itu di 21 buah PPK dan sebuah pertubuhan peladang di Kelantan.
Katanya, pelaksanaan pengedaran beras ini akan diaktifkan oleh pertubuhan peladang menerusi program-program seperti Jualan Agro MADANI dengan mengadakan jualan terus kepada ahli peladang.
"Jualan Agro Madani adalah program terbaik dan merupakan pendekatan yang dapat membantu pengeluar memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna melalui penglibatan usahawan dari peladang yang menyertainya.
"Apa yang paling penting, jualan ini dapat mengurangkan kos sara hidup ahli peladang melalui penjimatan yang ditawarkan sekali gus membantu keresahan rakyat," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!