MELAKA - Gara-gara memandu di bawah pengaruh alkohol, seorang anggota tentera didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Tertuduh J Francis Devi, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di Jalan Limbongan dekat sini, kira-kira jam 4.40 petang pada 10 Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45(1) APJ 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM5,000 dan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kereta Perodua Bezza ditahan dalam Ops Mabuk dan pemeriksaan menggunakan alat pernafasan terhadapnya mendapati kadar alkohol dalam badan melebihi had ditetapkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan perlu menanggung ibunya yang sakit di kampungnya di Sarawak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!