SHAH ALAM - Kempen ‘blockout’ artis dan pempengaruh di Amerika Syarikat (AS) yang tidak pernah bercakap mengenai Palestin atau menjadi duta produk Israel kini mula mendapat perhatian di Malaysia.
Orang ramai di media sosial serata platform termasuk Facebook, X, Instagram dan TikTok berkongsi senarai selebriti Malaysia untuk diboikot dengan tanda pagar #Blockout2024 termasuk nama-nama pelakon popular.
Pengguna Facebook, Liena Bunkerz, menyenaraikan 30 selebriti berkenaan meskipun ada dalam kalangan mereka itu adalah figura yang diminatinya.
"Walaupun ada yang ku minat gila-gila tapi terpaksalah ‘block’ juga. Aku tak boleh kompromi dengan manusia yang tak ada ‘common sense’ terhadap saudara kita di Gaza,” katanya pada Isnin.
Gerakan ‘Blockout2024' itu didapati mula dilakukan di negara ini sejak beberapa hari lalu apabila ada antara pengguna media sosial menyekat dan memboikot artis serta pempengaruh yang langsung tidak membuka mulut mengenai isu Palestin dan menjadi duta produk Isreal.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook Pana Pudding pula berkata, dia sudah menyekat akaun Instagram seorang pelakon lelaki yang namanya sedang meningkat naik walaupun meminati aktor tersebut.
"Saya tak mahu toleransi sebab banyak sangat jenama (produk) negara Zionis yang dia promosikan. Ini pilihan sahaja (untuk boikot pelakon itu).
"Sama juga macam boikot (produk jenama Israel). Nak buat, buat. Tak nak buat sudah,” ujarnya yang turut berkongsi tangkap layar akaun Instagram artis yang disekatnya.
Katanya, tindakan memboikot selebriti dan pempengaruh itu dilakukan bagi menunjukkan bahawa pengikut media sosial mempunyai kuasa terhadap pengaruh yang mereka miliki individu tersebut.
"Kalau berjuta pengikut ‘unfollow’ atau ‘block’ mereka, mereka tak ada audien dan tiada lagi sokongan daripada jenama itu. Itu sahaja cara (untuk ajar) orang kaya (supaya) dengar kata kan?” tambahnya.
Bagaimanapun, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel meluahkan rasa tidak puas hati terhadap segelintir individu yang mengkritik golongan tidak memboikot produk jenama yang sedang diboikot rakyat Malaysia.
Menerusi hantaran yang dimuat naiknya di laman X, penyanyi berusia 27 tahun itu berkata, Islam tidak pernah mengajar seseorang Muslim melakukan sesuatu tindakan di luar batasan.
"Pung pang kau suruh orang boikot itu ini atas nama Islam, tapi kau jatuh hukum sendiri, hina orang yang tak atau belum berbuat demikian. Macam kau tak pernah belajar adab dalam agama untuk jangan melampau.
"Bocor ke tak bocor Islam kau? Semoga kita tak berada dalam golongan ‘terpaling’,” katanya.
Hantaran berkenaan kemudiannya telah dipadam oleh Naim Daniel selepas dia mendapat kecaman hebat daripada netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan kenyataannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!