Tiada lagi pembelian pukal diesel nelayan - LKIM

Iklan
Muhammad Faiz

KUALA KEDAH - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pembelian diesel bersubsidi dalam kalangan nelayan dengan tidak lagi membenarkan pembelian secara pukal.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya mengambil tindakan itu bagi mencegah aktiviti penyelewengan bahan subsidi tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah tidak membenarkan pembelian terbabit diambil selepas kes penyelewengan diesel pada bulan lalu.

"Seminggu selepas kejadian itu berlaku, kita panggil semua pegawai dan pengurus besar persatuan nelayan kawasan (PNK) yang terlibat dengan jualan minyak diesel ini untuk mengadakan pertemuan.

Iklan

"(Antaranya) memperbaiki beberapa SOP atau tatacara yang diketatkan untuk pastikan tiada ketirisan seperti ini," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Program Rahmah Mesra Madani Libat Urus Pengerusi LKIM bersama nelayan Kuala Kedah di Slipway PNK Kuala Kedah, Kampung Teluk Layang dekat sini pada Isnin.

Iklan

Jelas beliau, antara SOP ditambah baik termasuklah tidak membenarkan pembelian diesel bersubsidi secara pukal.

Muhammad Faiz menambah, jumlah pembelian diesel bersubsidi adalah mengikut jenis bot dikendalikan nelayan terlibat.

"Jikalau, petrol sebenarnya tidak ada masalah kecuali berlaku ketirisan di peringkat stesen minyak tetapi diesel ini diuruskan oleh PNK di kawasan masing-masing melibatkan pusat pendaratan di kompleks atau swasta,"katanya.

Gesa Muhammad Faiz, semua pihak memainkan peranan dengan memantau secara terperinci nelayan terlibat di kawasan masing-masing.

Beliau memaklumkan, LKIM turut memandang serius insiden penyelewengan diesel bersubsidi walaupun ia melibatkan kes terpencil.

"Sebab yang melakukan (menyeleweng) itu ialah pemandu treler berkenaan yang keluar daripada perjalanan asal sebelum sampai ke kompleks perikanan dia turunkan sedikit diesel di Kuala Muda.

"Untuk ketirisan seperti itu ia adalah kejadian melibatkan perlakuan individu dan kes terpencil,"katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan LKIM memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kehilangan wang negara yang boleh dimanfaatkan oleh kegunaan rakyat dan negara, selain ia adalah barang kawalan.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan ketika sedang dipercayai melakukan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Bedong,Kuala Muda.

Siasatan lanjut mendapati treler itu dipercayai milik sebuah persatuan nelayan yang dipandu lelaki tempatan berusia lewat 30-an.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!