Cadang wujud cawangan universiti Malaysia di China

Iklan
Awang (kanan) menerima Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China, bersempena dengan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China 2024 anjuran Universiti Sains Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia, Datuk Norimah Abdul Samad pada Ahad.

SHAH ALAM - Malaysia seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah cawangan universiti di China dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan bidang kepakaran lain di rantau ini.

Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, ini kerana 17 buah universiti dan kolej di China kini menawarkan ijazah, diploma dan kursus bagi bahasa Melayu.

Iklan
Iklan

Penyandang dua kali Kursus Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing itu berkata, kerajaan seharusnya mengambil peluang terhadap perkembangan mengagumkan itu yang berlaku dalam tempoh 16 tahun sejak 2008.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China, bersempena dengan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China 2024, anjuran Universiti Sains Malaysia pada Ahad.

Iklan

Bekas Pengerusi Lembaga Pengelola dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) harus mengambil kesempatan ini dengan menghantar tenaga untuk mengajar bahasa Melayu dan bidang lain serta membuat penyelidikan.

Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China di Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China.

"Dari segi ekonomi dan hubungan dua buah negara kita dapat meneruskan hubungan menang-menang Malaysia-China selain bahasa Melayu akan terus digunakan secara meluas sebagai bahasa perdagangan dan kewangan,” katanya.

Iklan

Selain itu geran penyelidikan kerajaan bagi mengkaji perbandingan tamadun China dan Melayu harus diperkasakan lagi bagi mendalami hubungan sejarah dua negara itu.

"Hasil penyelidikan sebelum ini berjaya merungkai persamaan pantun Melayu dengan lagu rakyat China, peribahasa kedua-dua tamadun, persamaan wayang kulit, motif batik dan persamaan sejumlah habis Nabi dengan falsafah Konfusius. Malah penjual di pusat beli-belah di China banyak yang sudah pandai berbahasa Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Anugerah Tokoh Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Negara China yang diterimanya, Awang berkata, ia memberikan semangat untuk terus mengembangkan bahasa dan tamadun Melayu di peringkat dunia.

"Sekarang ini saya masih menerima undangan seminar, forum dan persidangan di China dan terkini saya telah menyampaikan 30 syarahan dan kertas kerja tentang hubungan tamadun Melayu - China baik di negara itu mahupun di Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!