'Mie... aku tunggu mu'

Iklan
Mat Izuwann berharap rakan baiknya, Muhammad Zul Fahmi Zuki, yang dihanyutkan arus di Pantai Teluk Bidara, Dungun petang semalam ditemui dalam keadaan selamat.

DUNGUN - Rakan baik kepada mangsa lemas di Pantai Teluk Bidara, Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, mengharapkan keajaiban berlaku terhadap sahabatnya itu.

Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Mat Izuwann Mat Zaini, 21, berkata, walaupun harapan untuk selamat tipis namun dia tetap berharap semoga rakannya itu segera ditemukan.

Iklan
Iklan

Katanya, dia mengenali mangsa sejak di bangku sekolah rendah dan persahabatan mereka berterusan hingga sama-sama menuntut di PSMZA.

"Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika ini. Saya memang rasa sedih dan sebak.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Empat pelajar Politeknik Dungun dikhuatiri lemas

'Anak tak pandai berenang, tak pernah mandi pantai'

Iklan

"Saya amat berharap berlakunya keajaiban, mudah-mudahan dia ditemui dalam keadaan selamat walaupun harapan amat tipis," katanya.

Mengimbau detik terakhir bersama rakan baiknya itu, katanya, sebelum ini mereka tidak pernah berenggang dan sentiasa bersama-sama ke mana sahaja.

"Kalau sebelum ni dia nak ke mana-mana dia akan berusaha mengajak saya hingga saya ikut. Kalau saya tak nak ikut atau mengantuk sekalipun dia akan berusaha ajak saya.

"Tapi semalam...dia tidak bersungguh-sungguh ajak. Kebetulan ketika itu saya tidur dan dia hanya memberitahu akan ke Pantai Teluk Bidara bersama rakan yang lain.

"Tak sangka itu pertemuan terakhir kami," katanya.

Semalam, empat daripada sekumpulan enam pelajar PSMZA berusia 21 tahun dikhuatiri lemas selepas tenggelam dibawa arus ketika mandi manda kira-kira jam 6.30 petang di pantai itu.

Sehingga kini, mangsa, Muhammad Zul Fahmi, Muhammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee masih belum ditemui.

Operasi mencari mangsa yang hilang diteruskan bermula jam 7 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, radius pencarian mangsa di Pantai Teluk Bidara kini diperluaskan hingga tiga batu nautika dari pantai manakala pencarian di pesisir pantai sejauh 15 kilometer hingga ke Pantai Teluk Mayat (Pantai Teluk Gadung).