BEKAS wartawan Melodi terbitan TV3, Muhammad Zamzuri Zaini atau lebih dikenali sebagai Ayau meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi tadi.
Menurut bekas isterinya, Alita Aris, arwah ketika itu berada di Masjid Al Muhajideen, Damansara Utama dan menunggu jenazah ibu mentuanya untuk disolatkan.
Bagaimanapun Allahyarham yang berusia 50 tahun tiba-tiba rebah dipercayai akibat serangan jantung sebelum dikejarkan ke Hospital KPJ Damansara.
"Kami membawanya ke Hospital KPJ Damansara, dan doktor sudah cuba menyelamatkannya selama lebih kurang 20 minit, tetapi gagal.
"Doktor percaya jantung Ayau sudah berhenti ketika di masjid lagi," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Tambah Alita yang baharu menyelesaikan pengebumian ibunya, jenazah akan dibawa ke Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan untuk disempurnakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai, Ampang.
Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!