KPDN rampas 2,550 liter minyak diesel bersubsidi cuba diseleweng

Iklan
KPDN merampas 2,550 liter minyak diesel bersubsidi yang diseleweng menerusi Ops Tiris 3.0 pada Sabtu.

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjumlah 2,550 liter menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Kawasan Perindustrian Klebang Bestari, Chemor, Perak pada Sabtu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan bermula jam 10 malam itu merupakan hasil aduan orang ramai dan risikan dilakukan pihaknya sebelum operasi dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, modus operandi sindiket terbabit adalah menggunakan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak sebelum ia dikumpul serta diedarkan di pasaran gelap.

Keadaan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan sebelum mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, satu daripada dua lori yang sedang dipantau berjaya dilarikan dalam keadaan berbahaya manakala seorang lagi pemandu bertindak melarikan diri dengan meninggalkan lori bersama enjin yang masih hidup.

Iklan

"Satu lori, tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) mengandungi minyak diesel, hos paip, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM19,492.50,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat termasuk rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya giat melaksanakan pemantauan berterusan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mengesan sebuah lagi lori yang berjaya dilarikan agar sindiket terbabit dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya lagi.

Tambah Azman, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

"Ia bagi kesalahan melibatkan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah akta ini boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM5 juta ringgit, yang mana yang lebih tinggi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!