PUTRAJAYA - Rayuan seorang aktivis untuk mencabar kebenaran merancang yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di Gebeng, Kuantan, Pahang akan didengar Mahkamah Rayuan di sini pada 18 September ini.
Ini berikutan keputusan sebulat suara panel hakim yang diketuai Hakim Datuk Lee Swee Seng menolak permohonan tiga responden - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Gading Senggara Sdn Bhd dan Lynas Malaysia untuk membatalkan rayuan Tan Bun Teet.
Tindakan itu adalah berhubung dakwaan beberapa kesilapan dalam pemfailan permohonan Bun Teet untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan memorandum rayuan mengikut Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.
Hakim Swee Seng dalam keputusannya berkata, mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan lanjutan masa dalam kes yang sesuai.
Beliau berkata, responden telah memfailkan permohonan membatalkan permohonan perayu (Bun Teet) hanya sebulan (Disember 2023) selepas perayu memohon untuk menyelaraskan rekod pada 13 November tahun yang sama.
"Ia adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam dan keadilan dalam kes ini memihak kepada perayu (Bun Teet),” kata Hakim Swee Seng, yang bersidang bersama Hakim Datuk See Mee Chun dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Seorang lagi responden, jawatankuasa perancang negeri Pahang tidak membantah permohonan Bun Teet.
Peguam Jessica Ram Binwani dan T Meenakshi mewakili Bun Teet manakala penolong penasihat undang-undang negeri, Munirah Shamsudin@Baharum mewakili kerajaan negeri.
Peguam Natasha Aida Zulkifli mewakili Majlis Bandar Raya, manakala B Thangaraj mewakili Gading Senggara, dan Sunil Abraham mewakili Lynas.
Pada 30 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman Bun Teet untuk mencabar kebenaran membina PDF yang telah diberikan kepada Lynas Malaysia.
Bun Teet memfailkan tuntutan mahkamah itu untuk mencabar kebenaran MBK bagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal sisa radioaktifnya.
Dalam tuntutan itu, Bun Teet memohon pengisytiharan mahkamah bahawa kebenaran merancang yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Kuantan kepada Gading Senggara dilakukan tanpa mematuhi peruntukan mandatori Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, menjadikan kebenaran merancang itu terbatal.
Bun Teet, yang merupakan pengerusi kumpulan alam sekitar Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) juga memohon mahkamah membatalkan kebenaran merancang untuk pembinaan PDF itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!