PETALING JAYA - Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan tiga beranak yang dilaporkan hilang di rumah perlindungan pertolongan wanita di Seksyen 20, dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, Balai Polis Sea Park telah menerima laporan berkaitan kes terbabit pada jam 5.47 petang Sabtu.
"Tiga beranak itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah perlindungan pertolongan wanita pada jam 4.30 petang, Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Shahrulnizam berkata, polis sedang mengesan seorang wanita dikenali sebagai Nur Aishah Abd Samad berusia 25 tahun bersama-sama anak perempuannya Putri Risha Annur Amsiah Abdul Razzaq berusia lima tahun dan anak lelakinya, Putra Raish Irfan Shah berusia tiga tahun.
Shahrulnizam berkata, wanita itu berketinggian 169 sentimeter, berat 50 kilogram, warna kulit hitam manis, hidung mancung dan mata sepet.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan tiga beranak itu boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Safuan Alias di talian 011-10255725 atau 03-78742222 bagi membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!