AFL, Kelme barakan pembangunan bola sepak tempatan

Iklan
Dari kiri, Louis Fun, Sivasundaram, Adly Shah ketika majlis Pelancaran Bola Rasmi Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 di Wisma FAM pada Isnin.

JENAMA barangan sukan terkemuka antarabangsa, Kelme meneruskan komitmen terhadap pembangunan bola sepak tempatan apabila memperbaharui perjanjian dengan Liga Bolasepak Amatur (AFL) bagi merancakkan saingan Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25.

Memasuki musim kedua penajaan (2024-2027) dalam kejohanan di bawah kendalian AFL, Kelme akan menyediakan bola rasmi bagi kejohanan Liga A1 Semi-Pro yang dijadualkan bermula 1 Jun hingga Februari 2025.

Iklan
Iklan

Ahli Lembaga Pengarah AFL, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, AFL dan Kelme Malaysia telah memeterai perjanjian persefahaman semenjak tahun 2021 lagi.

Tambahnya, kerjasama ini agak terbantut di peringkat awal kerana dunia pada ketika itu masih belum lagi habis berperang dengan penularan Covid-19.

Iklan

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada ketika itu hanya membenarkan Liga Super dijalankan tetapi tidak pertandingan di peringkat amatur.

"Namun begitu, Kelme Malaysia tidak pernah berganjak selaku penaja terawal yang menyokong sukan bola sepak di peringkat ini hingga ke hari ini.

Iklan
Sekitar Majlis Pelancaran Bola Rasmi Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 di Wisma FAM pada Isnin.

"Jenama Kelme kini tidak asing lagi dalam kancah bola sepak negara mahupun di pentas antarabangsa, diangkat sebagai Penaja Rasmi Bola Pertandingan Piala Asian 2023 sudah cukup membuktikan bahawa Kelme Malaysia kini sudah sebaris dengan jenama sukan lain yang terkemuka,” katanya.

Katanya lagi, di sebalik kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh Kelme Malaysia, sememangnya mereka tidak pernah melupakan AFL.

"Sepanjang tiga tahun bersama, Kelme Malaysia sentiasa bersedia membantu AFL memartabatkan lagi sukan ini di mana kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk melanjutkan lagi ikatan yang terbentuk untuk tiga musim seterusnya.

"Penajaan kali ini juga sangat istimewa kerana Kelme Malaysia telah memberi nilai tambah kepada tajaannya yang merangkumi bola rasmi pertandingan, wang tunai dan lain-lain barangan sukan kali ini mencecah hampir RM400,000 keseluruhan untuk tiga musim,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Penajaan AFL bersama Kelme dan Pelancaran Bola Rasmi Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin.

Adly Shah berkata, Liga A1 Semi-Pro yang dahulunya dikenali sebagai Liga M3 kini semakin tahun semakin kompetitif.

"Musim ini dihangatkan lagi dengan kehadiran pemain Import dan penglibatan bekas pemain-pemain terkemuka tanah air.

"Untuk musim ini juga, Kelme Malaysia tampil dengan rekaan baharu bola rasmi dengan sentuhan warna yang menarik dicipta khas seiring dengan tema pertandingan.

"Ia juga lengkap dengan kualiti yang lebih baik berbanding keluaran terdahulu.

"Bola pertandingan ini bakal menyinari Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 awal Jun ini untuk sepak mula musim ini.

"Terima kasih kepada Kelme Malaysia atas kerjasama ini dan diharap ia akan berterusan untuk jangka masa yang panjang.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM, MFL, Penaja yang sentiasa mendukung usaha AFL,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kelme, Louis Fun berterima kasih kepada semua hadirin serta penghargaan kepada AFL atas profesionalisme dan usaha-sama merealisasikan perjanjian penting ini.

"Pembangunan bola sepak tempatan di bawah kendalian AFL khususnya Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 sememangnya menjadi tanggungjawab Kelme untuk memastikan kemeriahan saingan tersebut.

"Matlamat kami adalah bersama AFL meningkatkan populariti bola sepak di Malaysia dan kami percaya ia akan mendapat sambutan peminat bola sepak dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Terima kasih AFL yang memberikan kepercayaan kepada kami untuk terus sama-sama menyumbangkan usaha ke arah pembangunan bola sepak tempatan di Malaysia,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, simbolik pengenalan bola Kelme yang akan digunakan pada saingan Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 disempurnakan Adly Shah bersama Louis disaksikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram.

Turut hadir, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah AFL serta Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad.

Terdahulu, Kelme juga merupakan penaja bola rasmi bagi Piala Asia 2023 yang berlangsung pada 12 Januari hingga 10 Februari di Qatar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!