SINGAPURA - Bakal Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mengumumkan barisan Kabinetnya pada Isnin, dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, Wong telah menerima pelawaan Presiden, Tharman Shanmugaratnam untuk membentuk kerajaan seterusnya pada Isnin.
Lawrence, 51, yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada Rabu, akan mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Kewangan manakala Kim Yong, 65, akan terus berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Beliau akan memangku jawatan Perdana Menteri, dalam ketiadaan PM.
Kim Yong akan menjadi Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan mengambil alih Kumpulan Strategi di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Sementara itu, seperti yang diumumkan sebelum ini, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong akan dilantik sebagai Menteri Kanan dalam barisan kepimpinan baharu dan akan kekal sebagai Pengerusi Majlis Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan.
Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat dan menteri-menteri lain dalam Kabinet Hsien Loong akan mengekalkan jawatan mereka.
Dalam barisan baharu, dua Menteri Negara - Low Yen Ling dan Desmond Tan - akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan manakala Setiausaha Parlimen Kanan, Rahayu Mahzam dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara.
Yen Ling akan kekal dalam Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan manakala Desmond akan terus kekal dalam PMO.
Rahayu dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara dan dilantik mengetuai Kementerian Perhubungan dan Penerangan serta terus berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan.
Menurut PMO, pucuk kepimpinan baharu itu akan mengangkat sumpah pada 15 Mei kecuali Murali Pillai yang akan dilantik dan mengangkat sumpah pada 1 Julai sebagai Menteri Negara dalam Kementerian Undang-undang dan Kementerian Pengangkutan manakala Setiausaha Parlimen Kanan akan mengangkat sumpah pada 24 Mei.
Sementara itu, PMO dalam kenyataan turut mengumumkan bahawa Kementerian Perhubungan dan Penerangan akan dinamakan semula sebagai Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan, berkuat kuasa 8 Julai.
Ia berkata, nama baharu itu mencerminkan peranan kementerian dalam memacu agenda digital nasional Singapura.
"Kementerian juga akan terus menyelia dasar dan strategi maklumat, pembangunan media dan usaha komunikasi awam," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!