AKTRES Mira Filzah mengingatkan netizen tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada mana-mana pihak.
Ujar Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, meskipun warganet kini turut memulakan gerakan Blockout di Malaysia, tidaklah perlu meninggalkan caci-maki pada orang lain.
"Saya bercakap ini untuk semua. Buat apa yang awak nak buat. Nak sekat, sekatlah, tapi tak perlu sampai keluarkan kata-kata yang tidak baik.
"Ini 'blockout' bukan 'makiout'. Ingat, penulisan kita pun ada dosa dan pahala," ciapnya menerusi aplikasi X.
Mira, 31, dalam masa sama menjawab sindiran segelintir netizen yang mendakwanya berdiam diri semenjak serangan ke atas rakyat Palestin 7 Oktober lalu.
Malah Mira menegaskan, dia juga ada bersuara sebelum gerakan Blockout 'dibuat'.
"Siapa yang datang semata-mata nak menghendap sahaja rasa"dan dan” repost. Siapa yang dah lama ikuti saya atau memang mengikuti, mesti tahu apa yang saya selalu repost. Meh saya tunjuk ya.
"Sebelum 12hb Mei, (sebelum this trend block jadi viral) pada 10hb, 9hb, 8hb, 7hb pun saya ada repost," tegasnya.
Gerakan 'blockout' atau menyekat sosial media mana-mana selebriti yang berdiam diri daripada bersuara mengenai serangan ke atas Palestin atau mempromosikan jenama yang jelas menyokong Zionis sudah tersebar hampir di seluruh Malaysia.
Semuanya bermula pada Met Gala 2024 minggu lalu apabila ada selebriti terkenal tidak menggunakan 'kuasa' mereka untuk bercakap mengenai serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Rafah.
Disebabkan gerakan itu, Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosial, diikuti beberapa selebriti lain seperti Taylor Swift, Selena Gomez, Justin Bieber dan Blackpink.
Gerakan itu turut mendapat sambutan di Malaysia dan setakat ini lebih 20 selebriti sudah dikenal pasti mula mempromosikan barangan atau jenama yang secara terang menyumbang dan menyokong Zionis.
Antara selebriti Malaysia yang disenaraikan untuk disekat adalah Nadhir Nasar, Daiyan Trisha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!