SHAH ALAM - Selepas kejayaan bengkel TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari di Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Melaka, kini kru jelajah bakal menerjah sekolah di Pantai Timur.
Editor Eksekutif Lifesytle, Meen Tahrin berkata, penjelajahan kru TV PSS Sinar Bestari di Pantai Timur dijangka bermula di Kelantan pada 11 Jun, Terengganu (12 Jun) sebelum menemui murid dan pelajar di Pahang pada 13 Jun nanti.
Menurutnya, Jelajah TV PSS Sinar Bestari pada tahun ini adalah yang pertama kali dilaksanakan di luar Selangor.
"Ini merupakan kali pertama kru TV PSS akan ke sana. Jadi sudah semestinya kami sangat teruja untuk bertemu dengan pelajar dan murid, sekali gus berkongsi pengalaman dengan mereka.
"Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi ilmu kepada mereka untuk memantapkan lagi TV PSS di sekolah masing-masing,” katanya kepada Sinar Bestari di sini pada Isnin.
Sementara di MELAKA, bengkel TV PSS Sinar Bestari yang julung kali diadakan di negeri ini pada 8 Mei lalu, memberi keterujaan kepada peserta terdiri dalam kalangan murid sekolah untuk lebih berani di hadapan kamera.
Peserta yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Sebang, Alor Gajah, Tasneem Sofi Abdullah Sani berkata, banyak perkara dan ilmu baharu yang diperoleh menerusi bengkel sehari itu terutama dalam menyediakan bahan-bahan sekolah melalui rakaman.
Akuinya, lebih penting dapat meningkatkan keyakinan diri kerana setiap pasukan mempunyai bakat dan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan sesebuah video.
"Seronok, sebelum ini kita tidak didedahkan komunikasi seperti ini.
"Jadi dengan adanya bengkel TV PSS Sinar Bestari kita boleh tambah baik video yang hendak dihasilkan.
"Ada juga soal jawab yang memberi ruang untuk kita menyuarakan persoalan dan pandangan,” katanya.
Murid SK Dato' Demang Hussin, Muhammad Zulharith Mohd Zulfaisal, 12, pula mengakui sangat gembira kerana terpilih mengikuti bengkel yang disifatkan mempunyai banyak perkongsian teknik baharu dalam penghasilan gambar dan video.
"Kita dapat tambah kemahiran seperti white shoot dan teknik mengambil gambar sesuai dengan sesuatu tempat atau program.
"Sebelum ini saya pernah menghasilkan video merentas desa di sekolah. Jadi akan datang dengan ilmu yang ada ini dapat tambah baik bahan yang ingin dihasilkan,” katanya.
K Elampharithii, 12, yang merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jasin berkata, bagi pengawas yang terlibat dengan ICT, peluang seumpama ini dinantikan dan secara tidak langsung bertukar idea dengan rakan-rakan sekolah lain.
"Ilmu dan kemahiran yang kita dapat ini, bukan sekadar untuk digunakan dalam kawasan sekolah tapi boleh kita praktik untuk kegunaan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Nasaruddin Rahmat berkata, bengkel yang dianjurkan adalah usaha yang baik sering Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi memastikan setiap murid mahir dalam pendigitalan.
"Ini juga yang dipanggil rakan strategik dan saya melihat komitmen Sinar Harian menerusi Sinar Bestari untuk membantu murid-murid ke arah itu,” katanya.
Terdahulu, SK Bukit Baru, Melaka menjadi lokasi ketiga penganjuran Jelajah TV PSS Sinar Bestari pada tahun ini.
Lebih 100 peserta dari lebih 20 buah sekolah terdiri dalam kalangan guru dan murid menyertai bengkel itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!