TATKALA sedang mendirikan solat, rasa waswas datang menerpa tanpa diundang.
Situasi itu kadangkala menyebabkan kita terganggu dan tercongak-congak sendiri jumlah rakaat yang sudah ditunaikan.
Demikian antara situasi yang dihadapi oleh segelintir orang apabila diganggu ketika menghadap ALLAH SWT. Disebabkan masalah itu, ada yang terus memberhentikan solat, kemudian mendirikannya semula kerana bimbang ia membatalkan ibadah dikerjakan.
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, ragu-ragu atau waswas semasa solat tidak membatalkan sembahyang yang ditunaikan.
Seandainya kita waswas tentang bilangan rakaat, Jabatan Mufti Negeri Selangor menyarankan agar kita memilih jumlah rakaat paling sedikit.
"Misalnya kita ragu-ragu sama ada sudah berada dalam rakaat keempat atau masih pada rakaat ketiga, maka kita perlu memilih rakaat paling sedikit iaitu rakaat ketiga.
"Kemudian, lengkapkan sampai cukup empat rakaat. Akhir sekali, disunatkan untuk sujud sahwi setelah selesai membaca tahiyat akhir sebelum salam,” katanya.
Bagaimapa pula jika rasa waswas itu datang selepas selesainya solat? Adakah sembahyang itu perlu diulangi semula?
Menjawab persoalan tersebut, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, rasa sangsi terhadap sahnya sesuatu ibadah selepas ia selesai ditunaikan tidak menjejaskan kesahan solat yang dikerjakan.
"Begitu juga halnya jika seseorang waswas semasa seseorang sedang menunaikan solat sebagaimana dijelaskan tadi.
"Ini kerana hukum tidak dapat dibina atas dasar ragu-ragu, waswas, syak atau sangkaan,” jelasnya.
Ia sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.” (Surah Yunus, ayat 36)