Kawal monopoli import sayur syarikat asing

Iklan
Foto hiasan.

KLANG - Kerajaan digesa mengawal pengimportan sayur daripada syarikat besar luar negara yang didakwa semakin memonopoli bekalan sayur dalam negara.

Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran Malaysia, Steven Lee berkata, lebih 60 peratus import sayuran dikuasai syarikat warga asing sejak kerajaan memansuhkan permit kuota import khususnya kubis bulat dan kelapa sejak Mei 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun pengguna menikmati sayur murah pada masa singkat ketika peniaga warga asing menurunkan harga, namun keadaan itu memberikan persaingan tidak sihat kepada peniaga tempatan.

"Gejala ini akan memusnahkan industri sayuran dalam negara dan ekonomi negara akan merosot disebabkan kehilangan ringgit akibat keuntungan akan dikirim balik ke negara asal syarikat asing.

Iklan

"Pada jangka masa panjang, apabila peniaga tempatan sudah tidak mampu bersaing dengan peniaga asing ini, keadaan monopoli akan berlaku menyebabkan harga dan bekalan akan dikuasai syarikat luar negara," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Krisis Makanan Sayur dan Kestabilan Agromakanan oleh Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran Malaysia dan Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran Malaysia.

Iklan

Steven berkata, kerajaan juga digesa untuk memantau kegiatan warga asing yang didakwa telah menjadi tauke besar dan mengusahakan ribuan ekar hingga membentuk rantaian bekalan sayur tersendiri.

Steven (dua dari kanan) dan Meng Huat (tengah) pada sidang akbar mengenai Krisis Makanan Sayur dan Kestabilan Agromakanan oleh Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran Malaysia dan Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran Malaysia pada Selasa.

"Pada dasarnya warga asing diperlukan oleh pekebun tempatan supaya membantu dalam meningkatkan bekalan sayur tetapi mereka kini telah berniaga sendiri dan merosakkan rezeki pekebun.

"Justeru kerajaan perlu memantau supaya permit warga asing ini tidak disalah guna dan tindakan tegas diambil terhadap pekebun serta pengusaha kebun ini," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga menyeru setiap kerajaan negeri menggazet tanah pertanian sayuran susulan tanaman pekebun kecil yang kian merosot akibat keluasan tanah kebun semakin terhad.

"Langkah menggazet tanah pertanian sayuran dan diberikan kepada pekebun tenpatan yang layak diperlukan supaya bekalan sayuran dapat ditingkatkan.

"Kerajaan boleh menggazet tanah pertanian dan menyalurkan bantuan pinjaman, subsidi atau rebat cukai kepada pekebun untuk meningkatkan hasil tanaman," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat berkata,persatuan meminta bantuan kerajaan untuk mengawal kuota import supaya bekalan tidak berlebihan dan tidak menyebabkan kerugian kepada petani serta pengimport.

"Keselamatan makanan ialah isu keselamatan negara dan sepatutnya tidak dibiarkan dikawal orang asing.

"Justeru, kerajaan perlu menghentikan pengimport syarikat yang dikuasai orang asing daripada menjalankan perniagaan import, pengedar dan peruncit sayur-sayuran," katanya.

Katanya, walaupun pelaburan asing dialu-alukan tetapi negara tidak sepatutnya membenarkan warga asing mengawal import makanan dalam negara.

"Kami berjanji sekiranya kerajaan bersetuju mengadakan sistem kawalan ini, kita sedia bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan melalui penetapan harga syiling.

"Dengan cara itu, kerajaan kita tidak risau bekalan sayur-sayuran ini dimonopoli atau menguntungkan pihak tertentu sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!