KUALA LUMPUR - Keldai akaun memberi 'ancaman' kepada siasatan polis berkait jenayah wang haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkara itu merumitkan termasuk isu teknikal membabitkan sesuatu akaun yang digunakan oleh mana-mana keldai akaun dengan institusi kewangan.
"Berdasarkan analisis JSJK, keldai akaun ini bermula daripada beberapa aspek disengajakan atau sebagai akibat daripada satu perbuatan lain.
"Seperti kita tahu, terdapat segelintir masyarakat yang bertindak 'menyewakan' akaun mereka dan mendapat 'imbuhan' tanpa memgambil kira tujuan penyewa akaun tersebut sama ada untuk tujuan yang baik atau tidak baik," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Ramli berkata, satu lagi situasi keldai akaun itu adalah di mana ia berlaku apabila seseorang terpedaya untuk membuat pinjaman yang mudah diluluskan tanpa cagaran seperti along.
"Individu ini kemudiannya menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM), kata laluan dan sebagainya kepada si pemberi pinjaman wang," katanya.
Beliau berkata, pada pengakhirannya pemilik akaun sebenar tidak menyedari bahawa akaunnya itu digunakan sebagai keldai untuk pemindahan hasil penipuan.
"Siasatan berhubung keldai akuan sememangnya merumitkan kerana ia memerlukan penelitian oleh mana-mana pegawai yang menjalankan siasatan dalam menjejaki pesalah sebenar selain mengambil masa yang panjang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!