Laluan peringkat ke-4 LTdL 2024 diubah

Iklan
Laluan Perlumbaan LTdL 2024.

MAJLIS Sukan Negara (MSN) selaku penganjur perlumbaan berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi 2024 (LTdL 2024) mengumumkan pertukaran laluan peringkat keempat daripada Kuala Kubu Baharu ke Genting kepada laluan baru Kuala Kubu Baharu ke Bentong sejauh 148.9 kilometer.

Menurut Sekretariat Petronas LTdL 2024, perubahan laluan itu diputuskan apabila penganjur melengkapkan tinjauan laluan baharu setelah mengambil kira faktor-faktor keselamatan ekoran kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun di sepanjang laluan Genting Highlands ketika tarikh perlumbaan.

Iklan
Iklan

"Pemilihan Daerah Kuala Kubu Baharu dan Bentong adalah untuk mengekalkan persiapan yang sedang dirangka oleh kedua-dua hos pelepasan dan penamat tersebut berdasarkan pengumuman laluan yang telah diumumkan menerusi Majlis Pelancaran Petronas LTDL 2024 pada 18 Mac 2024 lalu.

"Seperti diumumkan sebelum ini, penganjur tetap cuba mengekalkan konsep ‘back-to-back mountain climbs’ untuk Peringkat Ke-3 dan Ke-4 bagi Petronas LTDL 2024.

Iklan

"Peringkat Ke-4 kali ini bakal menyaksikan pelumba perlu memulakan pendakian pada jarak KM20 hingga ke KM40 di Jalan Gap-Bukit Fraser sebelum pendakian ke puncak Bukit Fraser pada ketinggian 1,250 meter,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebagai rekod, peringkat ini bakal menjelmakan cabaran tambahan buat pelumba kerana memerlukan percaturan taktikal dan teknikal yang tepat bukan sahaja menuntut kayuhan pendakian hebat, tetapi juga kepakaran menuruni bukit bagi mengumpul jurang masa maksimum (maximum time gap) untuk mengharungi baki 70km laluan landai ke Bentong.

Iklan

INFO

Edisi ke-28 perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia ini dijadualkan berlangsung daripada 29 September sehingga 6 Oktober depan dengan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,227.2km.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!