Tangani kereta parkir di zon larangan

Iklan
Ada pihak yang tidak bertanggungjawab meletakkan barangan di kotak kuning yang disediakan untuk pengguna meletakkan kenderaan mereka.

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan polis trafik untuk segera menangani isu pemandu yang tidak mengendahkan undang-undang tempat meletak kereta di sekitar bandar ini terutamanya di zon larangan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan di beberapa kawasan antaranya Jalan Utama, Jalan Residency, Jalan Logan, Jalan Pulau Pinang, Jalan Pasar, Jalan Pulau Pinang, Jalan Pantai dan Air Itam mendapati trend pengguna jalan raya meletak kenderaan tanpa mengambil kira pengguna jalan raya lain selain menyusahkan banyak pihak.

Iklan
Iklan

"Situasi ini semakin teruk terutamanya di Jalan Residensi (berhampiran Hospital Besar Pulau Pinang) yang mana, pemilik sering meletakkan kenderaan mereka di sepanjang jalan walau pun terdapat garisan kuning berkembar.

"Perbuatan ini amat berbahaya kerana akan menjadi penyebab kemalangan. Kawasan itu bukannya untuk diletakkan kenderaan orang awam sebaliknya ia merupakan jalan utama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Tambah beliau, pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa tempat meletak kenderaan awam yang diletakkan barangan antaranya tong besar, kerusi plastik dan pasu bunga bagi menghalang kenderaan diletakkan di kawasan terbabit.

Tinjauan CAP juga mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab meletakkan kerusi plastik dan tong sampah di petak parkir.

"Ada juga pemilik yang meletakkan kenderaan mereka di kaki lima dan perhentian bas.

Iklan

"Sikap ini amat menyedihkan kerana selain menyusahkan pengguna jalan raya lain, ia juga akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di negeri ini semakin teruk," katanya lagi.

Ujar Mohideen, kekurangan tempat meletak kereta di bandaraya ini menyebabkan pengguna jalan raya meletakkan kenderaan mereka sesuka hati.

"Kekurangan tempat meletak kereta juga menyebabkan wujudnya tempat meletak kereta haram yang akan menyebabkan masalah kepada pihak lain.

"Oleh itu, CAP juga mencadangkan untuk mengehadkan masa parkir di tempat letak kereta awam supaya mereka yang menggunakan ruang sepanjang hari dihalang daripada berbuat demikian," katanya.

Tambah Mohideen, MBPP dan polis trafik perlu mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melanggar peraturan parkir dan meletak kenderaan sembarangan.

"Langkah segera dan tegas adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kemudahan semua pengguna jalan raya di Pulau Pinang," jelasnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!