HULU LANGAT - Seramai 10 penduduk membabitkan empat keluarga menderita sejak tiga tahun lalu apabila jambatan konkrit yang menghubungkan kampung itu runtuh akibat banjir.
Seorang penduduk, Asmah Yasit, 61, berkata, sejak bah melanda, jambatan konkrit yang runtuh itu tidak pernah diganti baharu sekali gus menyukarkan penduduk keluar membeli barangan keperluan.
Menurutnya, penduduk mengambil inisiatif membina jambatan buluh secara bergotong-royong, namun ia tidak mampu bertahan lama.
"Apabila hujan lebat, jambatan buluh yang kami bina turut hanyut akibat arus deras dan sehingga kini kami masih buntu mengenangkan masalah berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Asmah berkata, lebih memeritkan, dia dan suaminya, Afzal Ehsan, 54, yang tinggal menyewa di kawasan itu terpaksa berhenti menjual makanan akibat kesukaran menyeberangi sungai setiap kali keluar berniaga.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka tiada sumber pendapatan tetap selain hanya bergantung harap kepada lima anak mereka membantu dari segi kewangan dan keperluan harian.
"Kami sudah penat melalui laluan ini, lebih-lebih lagi kereta kami terpaksa letakkan di surau berhampiran dengan jarak hampir satu kilometer," jelasnya.
Menurut Asmah, sambutan Aidilfitri juga suram kerana sukar untuk bertemu dengan anak-anak seperti keluarga lain disebabkan masalah terbabit.
"Anak-anak memang jarang balik kampung disebabkan masalah ketiadaan jambatan dan lebih merisaukan ia berkait dengan soal keselamatan.
"Bayangkanlah kami juga berdepan masalah gangguan air apabila paip rosak akibat dihanyutkan air sungai setiap kali hujan berterusan.
"Saya pada asalnya merancang membina rumah di tanah lot bersebelahan, namun akibat ketiadaan jambatan dan laluan perhubungan, maka hasrat ini ditangguhkan dahulu," luahnya.
Sehubungan itu, Asmah merayu pihak berwajib dapat membina jambatan konkrit bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk dengan segera
"Tolonglah bina kami sebuah jambatan konkrit untuk keselesaan penduduk kerana terlalu lama kami menanti, lebih-lebih lagi ia bukan isu baru tetapi telah lama kami perjuangkan," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, penduduk juga mencadangkan kerajaan supaya menjadikan tanah rizab kerajaan berdekatan sebagai laluan baharu sekiranya tiada peruntukan membina jambatan konkrit.
"Kami berharap masalah ini tidak berpanjangan kerana tidak tahan menghadapi masalah yang tiada kesudahan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!