PRK Kimanis: SPR tambah baik keselesaan pengundi

Iklan
Khemah berhawa dingin disediakan SPR kepada pengundi warga emas dan OKU di pusat mengundi SK Binsulok.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melakukan beberapa penambahbaikan untuk keselesaan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah hari ini.

Menerusi laman sosial Facebook, SPR berkata, inisiatif baharu itu dilakukan sempena PRK Kimanis.

Iklan
Iklan

SPR turut memuat naik beberapa gambar yang memaparkan penambahbaikan yang dilakukan iaitu menyediakan laluan pejalan kaki konkrit untuk kemudahan pemilih warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terutama yang berkerusi roda.

Pembinaan laluan pejalan kaki kekal itu sekali gus memberi kemudahan baharu kepada sekolah yang menjadi pusat membuang undi seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Sumbiling dan SK Bandau.

Iklan

Bilik menunggu juga disediakan di setiap saluran di semua pusat mengundi bagi mengelakkan pengundi beratur panjang yang membolehkan mereka duduk sebelum masuk ke saluran mengundi masing-masing.

Laluan pejalan kaki konkrit untuk kemudahan pemilih warga emas dan OKU terutama yang berkerusi roda. - Foto ihsan pembaca

Iklan

Selain itu, SPR turut memasang khemah berhawa dingin sebagai saluran membuang undi yang dikhaskan kepada pengundi saluran satu iaitu kepada warga emas dan OKU. Antara pusat mengundi yang dilengkapi kemudahan itu adalah di SK Binsulok.

Kemudahan lain yang turut disediakan adalah kereta ‘buggy’ yang membawa pemilih ke saluran mereka di kawasan pusat mengundi berbukit.

Penambahbaikan yang dilakukan SPR itu turut mendapat pujian ramai terutama pengundi yang keluar membuang undi kerana ia terbukti dapat memudahkan proses membuang undi terutama kepada warga emas dan OKU.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan dalam PRK Parlimen Kimanis adalah memperkenalkan penggunaan kamera video di semua 68 saluran mengundi.

Katanya, penggunaan kamera video itu adalah untuk rakaman keadaan dalam saluran dan memudahkan SPR untuk menyemak semula proses pengundian dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Kimanis: SPR guna kamera video rakam proses undi