[VIDEO] Tunai haji tanpa ikut saluran sah berdosa

Iklan

MAKKAH - [DIKEMAS KINI] Tindakan rakyat Malaysia tidak mengikut saluran dan proses yang betul untuk menunaikan haji adalah berdosa dan haram berdasarkan fatwa Kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tanah Suci Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, dalam Islam, penting untuk taat kepada ALLAH, Rasul dan pemimpin atau peraturan sedia ada dalam melakukan sesuatu perkara.

Iklan
Iklan
Shahrin Awaludin

Menurutnya, haji bukan ibadah yang suka-suka boleh dilakukan sebaliknya perlu dilakukan mengikut adab dan peraturan selain perlu dilaksanakan berlandaskan hukum syarak.

"Sebab itu dalam konteks haji ini baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi melalui Dewan Ulama tertinggi telah mengesahkan hukum bahawa jemaah haji yang datang tanpa proses atau peraturan yang betul adalah haram dan berdosa.

Iklan

"Haji ini adalah satu-satunya ibadah bagi orang yang berkemampuan. Selain daripada kemampuan kewangan, keamanan, kesihatan, mereka juga perlu memenuhi syarat kuota, ada permit untuk menunaikan haji," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat TH.

Pada April lalu, Majlis Ulama Kanan Arab Saudi mengumumkan bahawa wajib untuk mendapatkan permit haji terlebih dahulu sebelum melaksanakan ibadah haji dan turut menegaskan bahawa menunaikan ibadah haji tanpa keizinan adalah berdosa.

Iklan

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai yang ingin menunaikan rukun Islam kelima itu supaya tidak terlalu ghairah tanpa mengambil kira peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Arab Saudi.

Gambar hiasan.

"Walau kita mampu sekali pun, tetapi itu tidak mencukupi, maka kita kena tunggu. Kita kena yakin kepada Allah bahawa untuk menunaikan haji ini adalah jemputan daripada ALLAH.

"Insya-ALLAH jika ada jemputan menjadi dhuyufurrahman, kita akan sampai juga. Kalau kita pergi tanpa mengambil kira perkara-perkara ini, bimbang ini akan memberi kesan kepada pelbagai pihak termasuk kepada keluarga dan mungkin negara akan terlibat," katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial yang menyatakan bahawa kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah kerana dikatakan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Perkara berkenaan dikongsi oleh seorang pengguna media sosial menerusi Forum Umrah DIY selepas dihubungi oleh rakannya yang memintanya untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Hal itu kemudian telah mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengarahkan TH agar melakukan siasatan berhubung kejadian yang menimpa bakal jemaah haji berkenaan.

Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak SAR10,000 bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji antaranya Makkah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen keretapi Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Penalti yang akan berkuat kuasa mulai 2 Jun hingga 20 Jun itu, akan dikenakan terhadap semua individu termasuk warga tempatan, pemastautin, dan pengunjung yang ditangkap di dalam kawasan berkenaan tanpa permit yang sah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!