Cuaca panas: Pengendali air perlu tingkat kecekapan operasi

Iklan
Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 pada Selasa.

PUTRAJAYA - Pengendali air diarahkan agar meningkatkan kecekapan operasi bagi menghadapi cuaca panas dan kering.

Ia susulan musim Monsun Barat Daya yang melanda negara bermula bulan ini sehingga September ini.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengendali air juga perlu menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) diminta untuk mengarah pengendali air supaya meningkatkan kecekapan operasi bagi menghadapi cuaca panas dan kering ketika musim Monsun Barat Daya yang melanda bulan ini sehingga September ini.

Iklan

"Bagi operasi untuk memadam sebarang kebakaran, agensi-agensi tindak balas pula berada pada tahap siapsiaga dengan persediaan logistik sewajarnya untuk menghadapi kebakaran terbuka," katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid (kiri) melancarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Malaysia disaksikan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus.

Ujar beliau, mesyuarat turut dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bahawa negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat serta sedikit atas purata di Sarawak dan barat Sabah dalam tempoh Monsun Barat Daya.

Iklan

Selain itu katanya, MetMalaysia juga meramalkan peralihan kepada El Nino and the Southern Oscillation (ENSO) neutral dijangka berlaku pada pertengahan tahun ini, manakala La Nina dijangka mula terbentuk pada suku ketiga 2024.

"Buat masa ini, negara sedang berada di fasa peralihan monsun yang dijangka sehingga Mei manakala keadaan cuaca panas terutama di utara Semenanjung telah mula reda," katanya.

Secara relatifnya, jelas Ahmad Zahid, Monsun Barat Daya dijangka membawa cuaca yang lebih kering dan kebanyakan negeri mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

"Ini akan menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan, belukar, jerebu dan sekiranya berpanjangan, ia mengurangkan hasil pertanian," kata beliau.

Menurut Ahmad Zahid, Jabatan Alam Sekitar memaklumkan sejumlah 2,030 kes pembakaran terbuka telah disiasat dengan sembilan kes telah dibawa ke mahkamah, 630 dirujuk ke agensi lain, sementara 100 kompaun berjumlah RM200,000 telah dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April tahun ini.

Tambahnya, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai Sistem Pangkalan Data Hidrogeologi myGEMS milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta ketersediaan sumber air bawah tanah yang boleh diguna pakai sebagai sumber air alternatif.

"Ini termasuk untuk tujuan pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut dengan 640 telaga aktif untuk kegunaan domestik dan 104 telaga di kawasan gambut dan hutan berkapasiti 176.13 juta liter sehari (MLD)," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengingatkan semua agensi yang terlibat sentiasa mengambil langkah aktif dalam mengurangkan risiko bencana.

Mesyuarat yang dihadiri Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi JPBN, agensi teknikal dan agensi tindak balas itu turut menyaksikan pelancaran Buku Garis Panduan Pelaksanaan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Malaysia.

Buku garis panduan tersebut bertujuan untuk memastikan program CBDRM dapat dilaksanakan secara efektif di setiap peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di negeri dan daerah serta menyeragamkan pelaksanaan program selaras matlamat untuk membentuk sebuah komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana melalui aktiviti kesiapsiagaan.

Garis panduan yang dihasilkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor serta sokongan agensi kerajaan, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) itu boleh dimuat turun di laman sesawang Nadma di www.nadma.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!