Penganggur ditahan bersama 9.2kg heroin

Iklan
Gambar hiasan

IPOH - Seorang penganggur direman enam hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan berkaitan penemuan 9.2 kilogram (kg) dadah disyaki heroin bernilai RM115,000 di Pengkalan Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu ditahan sekitar jam 1.15 tengah hari oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Iklan
Iklan

"Lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan lanjut mendapati aktiviti pengedaran dadah itu didalangi sindiket yang dipercayai aktif sejak awal bulan ini.

Iklan

Menurut Mohd Yusri, dadah dirampas itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan dan boleh digunakan 12,000 penagih.

Polis katanya turut menyita wang tunai berjumlah RM250 daripada lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. - Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!