11 jurulatih baharu dalam radar KOM

Iklan
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam proses perkukuh struktur kejurulatihan dengan pelantikan 11 jurulatih baharu termasuk empat ketua jurulatih. Gambar hiasan. Gambar kecil: Robert Ballard

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) dalam proses memperkukuhkan struktur kejurulatihan dengan pelantikan 11 jurulatih baharu termasuk empat ketua jurulatih.

Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard berkata, pelantikan barisan jurulatih baharu itu adalah sebahagian rancangan kesatuan berkenaan untuk meningkatkan prestasi atlet menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand dan temasya sama edisi 2027 yang dijadualkan berlangsung di sini.

Iklan
Iklan

Selepas menerima lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) pada mesyuarat Selasa, Ballard berkata, mereka akan mengiklankan kekosongan jawatan itu tidak lama lagi dan berharap dapat menyelesaikan urusan pelantikan seawal-awalnya Julai ini.

"Kami mencari ketua jurulatih antaranya dalam larian pecut, lari berpagar, larian jarak sederhana dan jauh serta acara balingan.

Iklan

"Kami berterima kasih kepada Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub memandangkan kami memperoleh hasil (daripada mesyuarat) yang sangat baik untuk olahraga,” katanya kepada pemberita di MSN, pada Selasa.

Menurut Ballard, jawatan jurulatih terbuka kepada calon dari seluruh dunia, selain turut menggariskan ciri-ciri khusus menekankan kepada kepentingan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, kemahiran mengajar yang baik, serta keupayaan menggabungkan program latihan dengan sains sukan secara efektif.

Iklan

Jurulatih dari Australia itu optimis pelantikan jurulatih baharu tersebut akan membantu menggandakan kutipan pingat emas pasukan olahraga negara pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja dalam edisi temasya dwitahunan itu akan datang.

Sementara itu, Ballard yang pernah bertanding di Olimpik berkata, jurulatih baharu perlu memberi tumpuan kepada kategori acara yang berdepan isu kekurangan bakat antaranya lontar peluru.

"Misalnya, jurulatih tersebut perlu membina kumpulan bakat (sukan) lontar peluru kerana pada masa ini kita hanya mempunyai bilangan atlet yang sangat kecil, satu atau dua atlet sahaja pada peringkat tinggi.

"Jadi kita perlu menjadikan daripada dua kepada lapan (atlet.) Itulah yang perlu dilakukan dan itu akan menjadi cabaran mereka,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!