KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) akan 'memberi kuasa' kepada lima atlet untuk membuat keputusan sendiri sama ada mahu bersaing dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Kuching atau menyertai Kejuaraan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun (B-20) 2024 di Lima, Peru, Ogos ini.
Pengarah teknikal KOM, Robert Ballard berkata, ini berikutan kebimbangan mengenai potensi keletihan di kalangan atlet memandangkan tempoh masa yang pendek antara Sukma 2024 yang akan berakhir 24 Ogos dan bermulanya B-20 hanya tiga hari kemudian.
"Atlet terlibat perlu menempuh tempoh perjalanan yang panjang dan 13 jam perbezaan zon masa.
"Kalau mereka betul-betul hendak fokus pada Sukma, mungkin tidak pergi ke B-20. Terdapat banyak pilihan di luar sana.
"Terserah kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat antara KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada Selasa.
Antara lima atlet remaja negara yang layak ke Lima ialah dua peserta dalam acara 200 meter (m) lelaki - Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Sayyid Amin Roslan - serta Muhammad Fiross Mohd Faizal bagi acara 110m lari berpagar lelaki.
INFO
Sukma 2024 akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos manakala Kejuaraan Olahraga Dunia B-20 2024 akan berlangsung dari 27 hingga 31 Ogos.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!