ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak kepada Menteri Besar Perlis dan beberapa individu lain.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pihaknya menjangkakan hasil siasatan diperolehi pada minggu depan.
"SPRM sedang lengkapkan siasatan, saya harap akan ada keputusan (hasil siasatan) minggu depan, mungkin selewat-lewatnya pada Rabu depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Pada 26 April, anak lelaki Menteri Besar Perlis yang direman SPRM, dilepaskan dengan jaminan SPRM, beserta empat individu lain yang turut ditahan bagi membantu siasatan dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.
Kesemua suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Sebelum itu, SPRM menahan enam individu dipercayai terlibat dengan kes tersebut, ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Perlis.
Kesemua suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Dalam pada itu, Azmi menafikan dakwaan yang tular bahawa lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu akan ditahan SPRM dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Identiti lima ADUN berkenaan yang mewakili Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa disebut sendiri oleh anak Menteri Besar Perlis, ketika siasatan dilakukan oleh SPRM.
"Buat masa ini, dakwaan tersebut tidak betul,” katanya.
Azmi turut menafikan kononnya sekumpulan anggota SPRM Putrajaya telah pun berada di Perlis sejak beberapa hari lalu setelah memperoleh maklumat baharu tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!