Punyalah banyak tempat healing, stesen minyak juga dia nak merewang

Iklan
Laporan Sinar Harian

Merak Jalanan geleng kepala melihat kerenah sekumpulan anak muda dipercayai ahli kelab kereta buatan Jepun yang healing dan memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands baru-baru ini.

Perbuatan mereka melepak dan meletakkan kenderaan di kawasan tidak sepatutnya mengganggu aliran lalu lintas, sekali gus menyusahkan pengguna lain yang mahu mengisi minyak di situ.

Iklan
Iklan

Apatah lagi memasak menggunakan set dapur mini atau stove berhampiran stesen minyak juga mungkin bertukar kepada malapetaka lebih besar.

"Ini kawasan mudah terbakar! Tanda amaran larangan rokok, mati enjin kereta ada di situ, tapi budak-budak ni siap bawa dapur dan masak terus dekat situ,” kata Yob, rakan sepejabat Merak Jalanan selepas melihat rakaman video kumpulan tersebut di telefon pintarnya.

Iklan

Merak Jalanan juga senada dengan Yob dan geram dengan sikap kumpulan tersebut kerana mementingkan diri dan tidak berfikir panjang mengenai risiko keselamatan.

Apa yang membuatkan darah Merak Jalanan ‘mendidih’, kumpulan ini secara terang-terangan tidak menghiraukan arahan polis yang meminta mereka bersurai apabila tetap meneruskan acara makan-makan, dengan alasan alang-alang sudah masak.

Iklan

Ingatlah wahai anak muda, stesen minyak bukan tempat rekreasi. Carilah kawasan yang lebih sesuai dan tidak menyusahkan orang lain jika mahu membuat perjumpaan kelab kereta.

Cuba bayangkan jika berlaku kebakaran, sudahlah stesen minyak kawasan mudah terbakar, kenderaan mereka pula diparkir secara berlapis-lapis. Takkan itu pun mereka tak terfikir?

Mungkin kumpulan ini mahu kelihatan cool atau gila perhatian kononnya merekalah yang terpaling healing tanpa menyedari perbuatan mereka itu sebenarnya mengundang kemarahan orang ramai.

Apa pun, perbuatan seperti diharap tidak berulang dan memberi pengajaran kepada anak muda lain bahawa stesen minyak bukanlah tempat untuk healing.

Carilah tempat yang lebih sesuai, yang lebih selamat. Paling penting tidak menyusahkan orang lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!