SHAH ALAM – Anak tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa biologinya berdasarkan pandangan jumhur atau majoriti ulama.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak berkuasa agama negeri-negeri di Malaysia berpegang kepada pandangan jumhur ulama iaitu anak luar nikah tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya dan hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.
"Ulama berbeza pandangan tentang adakah anak tak sah taraf boleh dibinkan kepada bapa biologinya. Ada beberapa orang ulama generasi awal dahulu (Tabi’in) yang mengharuskan anak sedemikian dinasabkan kepada bapa biologinya.
"Namun majoriti ulama berpandangan ia tidak diharuskan. Masing-masing bersandar kepada dalildalil naqli (bersumber al-Quran dan sunnah) dan aqli (akal) tertentu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini pelakon dan pengacara, Myra Natasya mendedahkan dia sebenarnya adalah anak luar nikah kepada personaliti radio popular, Halim Othman.
Tegas Wan Salim, di sisi Islam setiap anak yang dilahirkan adalah berada di atas landasan semula jadi yang bersih daripada sebarang dosa (fitrah) termasuk anak zina atau anak tak sah taraf.
Namun begitu, katanya, agama Islam melarang membuka aib diri sendiri dan juga aib orang lain.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hubungan anak tidak sah taraf dengan bapa biologi adalah seperti orang asing yang tidak mempunyai pertalian.
"Kalau anak itu perempuan, bapa biologi itu tidak boleh jadi wali pernikahan anaknya dan anak kena guna wali am atau raja selain si anak juga tidak tidak layak dapat harta pusaka si bapa.
"Kecuali jika bapa biologi nak beri semasa dia hidup dengan cara hibahkan harta kepada si anak,” jelas beliau.
Justeru, beliau menasihatkan mana-mana individu yang berdepan masalah sedemikian untuk pergi merujuk dan berjumpa pihak berkaitan serta tidak mendedahkannya secara terbuka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!