Hubungan utuh Malaysia-Singapura beri manfaat besar kepada ASEAN

Iklan
Lawrence Wong

KUALA LUMPUR - Cabaran utama bagi Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong, yang bakal mengangkat sumpah pada Rabu sudah pastinya adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dengan negara jiran Malaysia, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara malahan kepada 10 anggota blok ASEAN yang lain.

Mengukuhkan hubungan ini adalah elemen penting untuk memaksimumkan potensi bersama dan mencipta kekayaan kepada rakyat di tengah-tengah persekitaran global yang umumnya memihak kepada ekonomi yang kompetitif.

Iklan
Iklan

Dengan bekerjasama bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Singapura -- sebuah negara maju, khususnya dalam teknologi -- boleh menarik firma teknologi global berpindah ke rantau ini susulan perang perdagangan dan cip antara Amerika Syarikat (AS)-China.

Persaingan sengit antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu telah memaksa banyak firma semikonduktor global memilih destinasi yang lebih selamat dan Malaysia serta ekonomi serantau lain seperti Singapura memiliki kelebihan utama untuk menarik pelaburan ini.

Iklan

Sekiranya Putrajaya dan kerajaan baharu Singapura membangunkan dasar ekonomi dua hala baharu, kedua-duanya boleh dengan mudah menawarkan negara masing-masing sebagai destinasi pelaburan bersama untuk menarik syarikat semikonduktor global ke ASEAN dengan pelaburan strategik di Malaysia-Singapura termasuk gergasi teknologi dari AS dan China.

Dengan berbuat demikian, nukleus Malaysia-Singapura boleh menjadi magnet untuk menarik pelaburan langsung asing ke rantau ASEAN, berdasarkan gabungan hampir 700 juta populasi dan juga merupakan rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia.

Iklan

Malaysia yang disenaraikan di kedudukan keenam di dunia bagi eksport semikonduktor, dengan jualan RM575 bilion pada 2023, dilaporkan menguasai tujuh peratus bahagian pasaran global.

Ini pastinya menjadikan negara sebagai destinasi menarik bagi pelabur yang mahu mengejar keuntungan. Dan jika Malaysia dipromosikan bersama-sama dengan Singapura sebagai destinasi bersama, tidak dinafikan ia bakal melonjakkan lagi daya tarikannya untuk pelaburan global.

Lawrence, 52, yang sebelum ini merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, akan menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang telah mentadbir Singapura selama hampir 20 tahun sejak 12 Ogos 2004.

Istiadat mengangkat sumpah Lawrence akan berlangsung pada 8 malam ini di Istana, kediaman rasmi dan pejabat presiden Singapura.

Jumaat lepas, Anwar berkata Malaysia bersedia untuk terus mengukuhkan lagi hubungan dengan Singapura di bawah pentadbiran Lawrence.

Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata, kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Singapura juga boleh menjadi sebagai perisai bagi kedua-dua negara untuk menangani pelbagai cabaran risiko global.

Antaranya, termasuklah kelembapan permintaan luar, inflasi dan kadar faedah yang terus meningkat, serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak ekoran konflik di Timur Tengah, perang Ukraine-Rusia yang berterusan dan pertelingkahan AS-China.

Kim Leng berkata, Malaysia dan Singapura telah saling melengkapi sejak sekian lama, dengan ekonomi kedua-duanya hampir bergantung antara satu sama lain.

Singapura mempunyai kos buruh tinggi, kekurangan tenaga mahir dan tenaga kerja. Namun begitu, kewangan kukuh dengan rizab besar yang dimiliki negara tersebut boleh menawarkannya sebagai batu loncatan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, katanya.

Banyak eksport Malaysia dilakukan melalui Singapura, sebilangan besar rakyat Malaysia bekerja di Singapura manakala terdapat banyak syarikat dari kedua-dua negara yang menjalankan perniagaan di pasaran masing-masing.

Menurutnya, dalam senario sedemikian, hubungan dua hala yang berterusan amat penting bagi kedua-dua negara dan berpotensi untuk ditingkatkan lagi memandangkan dinamik baharu di persada ekonomi serantau dan global.

Statistik terkini menunjukkan bahawa lebih 1.18 juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura, manakala secara keseluruhan 1.8 juta rakyat Malaysia bekerja di rantau ini.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmad Razman Abdul Latif berkat,a daripada bersaing antara satu sama lain, saling bekerjasama"merupakan jalan terbaik untuk kedua-dua Singapura dan Malaysia terus melangkah kehadapan."

Langkah ini amat kritikal memandangkan keadaan ekonomi yang mencabar dan tidak menentu ketika ini yang membolehkan kedua-dua ekonomi saling bekerjasama bukan hanya secara dua hala tetapi juga di peringkat serantau.

Selama lebih sedekad, Malaysia dan Singapura telah menjadi rakan dagang global kedua terbesar antara satu sama lain dan yang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

Pada 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM363.13 bilion (AS$79.6 bilion).

Singapura dan Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara kedua-dua negara pada tahun depan.

Selain Malaysia dan Singapura, negara anggota ASEAN yang lain termasuk Indonesia, Vietnam, Laos, Brunei, Thailand, Myanmar, Filipina dan Kemboja. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!