Misi City belum selesai

Iklan
Guardiola. Foto EPA Guardiola. Foto EPA
Guardiola. Foto EPA

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan misi pasukan itu belum selesai biarpun berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 di Tottenham Hotspur, meletakkan pasukannya di puncak kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat berturut-turut.

City tidak berada pada prestasi terbaik mereka dalam perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu dengan penjaga gol gantian, Stefan Ortega menyelamatkan percubaan penting Son Heung-min sebelum Erling Haaland menyumbat gol keduanya melalui penalti untuk melakar kemenangan penting.

Iklan
Iklan

"Kami gembira di bilik persalinan tetapi mereka tahu ia belum selesai, mereka tahu ia akan menjadi sukar pada hari Ahad.

"Kami perlu memenangi perlawanan untuk melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh pasukan lain (menjuarai EPL buat kali keempat berturut-turut)," katanya.

Iklan

City berada dua mata di depan Arsenal menuju perlawanan terakhir liga yang akan menentukan siapa lebih layak menjulang trofi EPL.

City akan berdepan West Ham United di laman sendiri pada Ahad dan hanya kemenangan membolehkan mereka merangkul kejuaraan keenam dalam tujuh musim.

Iklan

Guardiola turut mengakui para pemainnya berdepan tekanan hebat terutama harapan ramai pihak yang mahu melihat pasukan itu menjadi pasukan pertama dalam sejarah Inggeris memenangi empat kejuaraan berturut-turut.

"Saya faham tekanan dialami pemain pada separuh masa pertama. Mereka tidak dapat bermain dengan baik.

"Ia akan sama pada Ahad ketika kami menentang West Ham.

"Kami akan sekali lagi merasai tekanan. Ia adalah perkara biasa.

"Itulah sebabnya kami bercakap dan mengatakan semua orang perlu berehat dan melakukan apa yang mereka perlu lakukan, itu sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!