SHAH ALAM - Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal lain di seluruh negara bermula 1 Januari 2020.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 2.8 juta orang bekerja sendiri (OBS) yang mempunyai taraf warganegara atau pemastautin tetap Malaysia.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan membolehkan mereka mendaftar dan mencarum dengan Perkeso. pada kadar serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan melalui pembayaran secara talian.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa bayaran caruman adalah secara prabayar dan OBS akan terus mendapat perlindungan SKSPS termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal dan elaun layanan sentiasa
"Pencarum boleh melayari https://matrix.perkeso.gov.my atau bayaran tunai di mana-mana pejabat Perkeso," katanya.
Kenyataan itu juga memberitahu, skim berkenaan membabitkan 19 sektor tidak formal termasuk perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, pengambilan hasil hutan dan perikanan.
Menurutnya, sejak skim berkenaan dibuka pada tahun 2017 seramai 46,056 mereka yang bekerja sendiri mendaftar dan mencarum.
"Sejumlah RM9,987,546.50 telah dikutip dan Perkeso juga telah membayar sebanyak RM740,388 tuntutan faedah merangkumi 225 kes kemalangan yang dilaporkan," katanya.