PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim berkemungkinan dibernarkan pulang dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi selepas keadaan kesihatannya bertambah baik.
Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, doktor masih memantau tahap pemulihannya dan hanya pakar di hospital yang boleh memberikan jawapan sebenar mengenai tempoh masa tersebut.
"Perkembangan pemulihannya baik tetapi perkara ini saya serahkan kepada pihak doktor.
"Mungkin ada yang bertanya berapa lama lagi Faisal akan berada di hospital, saya rasa paling kurang pun dalam dua minggu lagi," katanya.
Faisal dirawat selepas mengalami kelecuran tahap empat apabila disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu.
Tonggak sayap kebangsaan itu juga sudah melalui tiga proses pembedahan termasuk prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tersebut.
Dalam pada itu, Shahril berkata, Faisal dijaga dengan baik termasuk dari segi emosi biarpun pemain yang lebih mesra disapa sebagai Mickey itu ada bertanyakan mengenai perkembangan Selangor FC.
"Kalau ikutkan Faisal ini seorang yang sangat teliti, sering bertanya apa terjadi. Sekarang ini kita nak fokus kepada pemulihan dia dahulu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!