SEREMBAN - Seorang penjawat awam direman tujuh hari bermula Rabu kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya memohon dan meluluskan dana berjumlah RM12,000 untuk kepentingan dirinya, tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret Sivil di sini selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa, Zainab Yahya.
Reman terhadap suspek bermula 15 Mei hingga 21 Mei dan akan ditempatkan di lokasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam pada Selasa ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
"Suspek ditahan kerana disyaki menyalah guna kedudukannya dengan membuat permohonan dan meluluskan pinjaman wang pada 2023.
"Ia untuk tujuan pendahuluan bagi kerja membaik pulih Pusat Mengumpul Getah (PMG) sebanyak RM12,000 melalui dana daripada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) untuk kepentingan dirinya," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!