KOTA KINABALU - Lesen memburu buaya dibuka sepanjang tahun oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) bagi mengimbangi populasi haiwan tersebut di negeri ini.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, maklum balas yang diterima daripada orang ramai setakat ini adalah pada tahap yang minimum.
"Ini antara kaedah untuk kita memastikan kemampanan dalam industri hidupan liar buaya di Sabah tetapi setakat ini maklum balas daripada orang ramai berhubung permohonan lesen ini masih di tahap minimum.
"Besar harapan saya agar langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan konflik antara manusia dan buaya tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu seperti pelancongan dan pengeluaran barangan mewah, sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan kita," katanya ketika berucap pada Bengkel Mengurus Konflik Manusia - Buaya di Sabah anjuran JHL di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau sebelum itu dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mary Malangking.
Bengkel selama dua hari itu dihadiri kira-kira 100 peserta yang membincangkan tentang keseimbangan antara keselamatan manusia, kehidupan dan pemeliharaan buaya serta hubungan harmoni antara manusia dan haiwan itu di Sabah.
Christina juga percaya, dengan memanfaatkan sumber alam secara mampan akan membawa manfaat kepada rakyat Sabah.
"Jadi di masa hadapan, buaya bukan lagi haiwan yang digeruni tetapi dihargai oleh penduduk setempat," katanya.
Sehubungan itu, peserta bengkel diingatkan mengenai matlamat mereka untuk meredakan ketakutan pada buaya sambil memastikan pemuliharaan pada habitat semula jadi haiwan tersebut.
Beliau mengakui bahawa buaya adalah haiwan yang digeruni sejak turun menurun dan menjadi ancaman kepada kehidupan serta mata pencarian manusia.
"Jadi penting untuk kita mengekalkan kesihatan ekosistem ini dan sebagai sumber yang berpotensi untuk meningkatkan kehidupan masyarakat tempatan kita.
"Jelas terdapat jurang yang ketara dalam pemahaman masyarakat kita tentang konflik yang semakin meningkat antara manusia dan buaya.
"Oleh itu, tindakan dan platform diperlukan untuk merapatkan jurang ini dengan mendidik dan meningkatkan kesedaran pelbagai pihak," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 404 kes serangan buaya dilaporkan di Sabah antara 2019 hingga Mei 2024 di mana sebanyak 211 buaya ditembak mati dalam tempoh itu, manakala 42 mangsa terbunuh dan 23 cedera akibat diserang reptilia berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!