SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hanya akan memberi cadangan tersebut jika diminta oleh Seri Paduka Baginda.
"Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, 'Tuanku, lalui proses itu',” katanya ketika wawancara bersama Bloomberg dalam Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha pada Selasa.
Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua pihak perlu memberi fokus terhadap prosiding kes berkenaan yang sedang berjalan berbanding isu tahanan rumah.
"Akhirnya Agong yang akan membuat keputusan.
"Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan melangkaui (kuasa) Agong," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!